Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kemenangannya dalam saman fitnah RM100 juta terhadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga pihak lain sebagai satu pengajaran besar kepada mereka.
Katanya, kemenangan itu bukan sesuatu untuk diraikan tetapi menjadi pengajaran kepada mereka agar tidak keterlaluan menggunakan apa cara sekalipun untuk menjatuhkan memalukan, menghina, merosakkan dan memfitnah sesorang.
"...ia juga menjadi bukti bagaimana sesuatu cerita direka semata-mata atas nama nafsu serakah yang mahu menggodam seseorang tanpa rasa dosa dan nilai kemanusiaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di Ipoh.
Zambry kini berada di Mekah kerana menunaikan haji dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada Selasa.
"Pihak saya telah menulis kepada mereka agar memohon maaf atas perbuatan mereka tetapi dengan angkuh mereka menjawab untuk bertemu saya di mahkamah," katanya. "Kini mahkamah telah membuat keputusan. Saya terima dengan penuh keinsafan," kata beliau yang turut mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam yang mewakili beliau.
Zambry hari ini memperoleh penghakiman terhadap akhbar Suara Keadilan dalam kes saman RM100 juta yang difailkannya berhubung penyiaran artikel fitnah oleh lidah PKR.
Penolong Pendaftar Kanan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Noordura Mohammad Din turut membenarkan permohonan Zambry untuk mendapatkan penghakiman pada bahagian-bahagian tertentu dalam pernyataan pembelaan defendan selepas mendengar penghujahan kedua-dua belah pihak di dalam kamarnya.
Peguam Zambry, Firoz Hussein Jamaluddin memberitahu pemberita bahawa mahkamah akan menilai ganti rugi berkenaan kemudian.
Pada 25 Februari lepas, Zambry memfailkan saman fitnah menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan, penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Disember 2009 5 Januari 2010, bertajuk "Zambry Disyaki Pengganas Gagal Masuk ke Amerika Syarikat" mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.
Beliau memfailkan saman fitnah dengan menamakan Dr Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden, Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan; penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd sebagai defendan.
Dalam saman yang difailkan pada 25 Feb itu, Zambry mendakwa tulisan bertajuk 'Zambry disyaki pengganas gagal masuk ke Amerika Syarikat' yang disiarkan lidah PKR itu merupakan satu fitnah dan berita tersebut merosakkan reputasi peribadi, awam dan politiknya.
Katanya, tulisan dalam isu 29 Disember, 2009 - 5 Januari 2010 itu bermaksud beliau disyaki sebagai pengganas dan tidak layak memegang jawatan menteri besar negeri itu.
Zambry menafikan bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki Amerika Syarikat dan beliau sememangnya memasuki negara itu. -23/11/2010 agendadaily.com

ulasan pusaka ibunda - kalau tak betul jangan lah nak tulis. kan dah kena saman.